KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 437 aksesori wanita berjenama Louis Vuitton dan Chanel yang disyaki tiruan disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah.
Pengarahnya, Georgie Abas berkata barangan yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang diangkut dalam sebuan yang telah dijalankan selama dua hari yang berakhir semalam.
“Kesemua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM 10,573 dan tindakan kes diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019…
“Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah yang terdiri daripada 10 orang anggota bersama-sama dengan wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama “Louis Vutton (LV)” dan “Chanel” di tiga (3) buah premis perniagaan berbeza lokasi di sekitar daerah Kota Kinabalu dan Penampang.

“Operasi terbabit adalah hasil maklumat yang diterima daripada Global Trade Shield Consultancy Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama “Louis Vuitton (LV)” dan “Chanel” yang disita di dalam kes ini,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketiga-tiga pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” tambahnya.
Beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
Dalam pada itu beliau menasihati pengguna supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.
“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran,” ujarnya.





