TEXAS – Seorang wanita ditahan selepas disyaki cuba untuk memberikan bayinya kepada orang yang tidak dikenali, demikian lapor Jabatan Polis Corpus Christi dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, wanita yang dikenali sebagai Yessenia Cardenas menyerahkan bayinya kepada orang ramai.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa pegawai Polis Corpus Christi yang bergerak segera ke lokasi selepas menerima aduan orang ramai berkenaan insiden berkenaan di mana Cardenas yang sedang berjalan di sebatang jalan telah meminta orang yang tidak dikenali mengambil anaknya.
Orang ramai yang berhenti untuk bercakap dengan wanita berusia 25 tahun itu menerima bayi tersebut dan kemudian menghubungi polis.
Sebaik sahaja tiba, polis bertindak menahan Cardenas bersama bayinya dan di bawa menjalani pemeriksaan kesihatan.
Hasil pemeriksaan mendapati Cardenas khayal dengan bahan terlarang, lapor polis di Facebook mereka.
Jabatan Perlindungan Kanak-Kanak diarah menjaga bayi tersebut.
Manakala, ibunya ditangkap dan didakwa kerana meninggalkan atau membahayakan nyawa kanak-kanak.
Menurut undang-undang khas Texas yang dikenali sebagai Undang-undang Baby Moses atau Safe Haven terdapat beberapa lokasi, ibu bapa boleh meninggalkan anak mereka jika mereka menghadapi krisis.





