KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) telah diadakan di sini, semalam.
Menteri KPMKR, Datuk James Ratib memberitahu bahawa majlis tersebut berupaya untuk menyatupadukan warga Kementerian agar sama-sama berkhidmat dengan lebih cemerlang, dinamik, dedikasi dan penuh iltizam yang tinggi.
“Syukur alhamdulilah, kesempatan yang ada pada hari ini membolehkan kita bersuaikenal dengan lebih dekat lagi sekaligus menjalin dan mengeratkan silaturahim sesama kita.
“Pada hari ini saya rasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama dan bertemu dengan lebih dekat secara bersemuka dengan warga kerja KPMKR.
“Sebelum ini, saya telah pun berjumpa dengan sebahagian daripada kakitangan, terutamanya dengan ahli pengurusan tertinggi yang diketuai oleh Datuk Sr Lee Chun Khiong.
“Sememangnya saya berhasrat untuk mengadakan pertemuan kita ini lebih awal, namun hasrat tersebut belum kesampaian. Pada hari ini, bersempena bulan yang mulia ini kita telah diberikan ruang dan peluang untuk bertemu walaupun dalam masa yang amat terhad,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kehadiran tetamu-tetamu jemputan, terdiri ketua-ketua jabatan dan agensi, anggota media dan seluruh warga KPMKR.
“Saya juga mengalu-alukan kehadiran insan-insan istimewa terdiri Orang Kekurangan Upaya (OKU), Warga Emas dan Anak-Anak Yatim yang sempat bersama-sama dalam majlis ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan juga Majlis Pembangunan Masyarakat Sabah, yang telah mengatur-urus kehadiran mereka,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, dalam masa yang singkat sebagai Menteri KPMKR, beliau telah berpeluang melihat sendiri antara tanggungjawab yang diamanahkan kepada Kementerian dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh warga Kementerian.
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan dan seluruh warga Kementerian dan agensi di atas didikasi dan komitmen yang ditunjukan atau diberikan kepada saya selaku menteri dalam usaha merialisasikan Halatuju, Visi dan Misi kementerian.
“Seperti tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, khususnya warga kerja KPMKR, kecemerlangan penyampaian perkhidmatan ke arah pembangunan masyarakat makmur dan sejahtera menjelang tahun 2026 dan Memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan melalui tadbir urus yang cekap dan berkesan, berintegriti serta pelaksanaan inisiatif pendigitalan Kementerian, adalah Visi dan Misi kementerian kita.
“Untuk mencapai Visi dan Misi ini, sudah pasti pelbagai cabaran bakal kita hadapi, justeru saya ingin mengajak kepada seluruh warga kerja KMPKR dan agensi supaya terus memberikan khidmat terbaik kepada kementerian ini,” ujar beliau.
James menggesa semua kakitangan KPMKR agar menghadam, ambil dan pikul bersama tanggungjawab serta amanah ini dengan penuh efisien.
Menurut James, ini bersesuaian dengan kata-kata hikmah “Pembangunan Modal Insan Adalah Nadi Dan Jantung Utama Dalam Kerangka Untuk Membangun Masyarakat Ke Arah Kesejahteraan Rakyat Seiiring Dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya”.





