Pembinaan Tiang Smart Pole Taman Jindo Dihentikan Segera

Pembinaan Tiang Smart Pole Taman Jindo Dihentikan Segera

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengarahkan kerja-kerja pembinaan Tiang Lampu Multi Fungsi (Smart Pole) di tanah lapang Taman Jindo sini untuk berhenti dengan serta merta.

Mayor Bandaraya, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, tindakan itu dibuat memandangkan kelulusan akhir belum diperolehi syarikat berkenaan yang dikatakan berpusat di Shah Alam, Selangor.

Katanya selain menerima aduan daripada penduduk Taman Jindo pada Jumaat lalu, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, juga telah menyuarakam hal tersebut melalui Facebook milik beliau semalam (Ahad).

“Selaras dengan Kelulusan Garis Panduan Pembinaan Struktur Pemancar Komunikasi di Kawasan Bandaraya Kota Kinabalu oleh Ketua Menteri Sabah pada 15 Dis 2021, garis panduan itu telah dilancarkan pada 2 April 2022…

“Bagi menambah baik tahap perkhidmatan komunikasi digital di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerjasama pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pemudah caraan pelaksanaan infrastruktur digital di peringkat Negeri amat diperlukan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Noorliza berkata penggunaan platform digital menjadi semakin rancak susulan kepada amalan Norma Baharu berikutan pandemik COVID-19.

Katanya, keadaan itu turut mencetuskan lebih banyak aktiviti transaksi secara dalam talian seperti mengadakan persidangan dan mesyuarat secara maya (virtual), menjalankan kaedah pembelajaran dari rumah, membeli belah untuk keperluan asas harian, melayari perkhidmatan hiburan serta sukan termasuklah membuat pesanan makanan dan sebagainya.

“Isu seperti ‘overcrowding’ dan ‘dropped call’ sering menjadi masalah terutama di kawasan penduduk berkepadatan tinggi…

“Dengan mengambil kira kawasan Bandaraya Kota Kinabalu yang telah pesat dibangunkan, kawasan-kawasan untuk pembinaan struktur menara komunikasi adalah sangat terhad.

“Oleh yang demikian, alternatif bagi masalah ini diatasi dengan memperkenalkan Tiang Lampu Multi Fungsi (Smart Pole),” tambahnya.

Tiang Lampu Multi Fungsi akan dipasang di lokasi-lokasi yang terpilih bagi persediaan ke arah perlaksanaan teknologi 5G untuk memberi liputan digital komunikasi yang menyeluruh ke atas kawasan yang berkepadatan tinggi.

Cara penggantian tiang lampu jalan sedia ada atau pemasangan Tiang Lampu Multi Fungsi baharu dengan ketinggian tidak lebih dari 18 meter di kawasan-kawasan seperti tanah lapang, tanah rizab kerajaan dan kawasan yang diselenggara oleh pihak DBKK.

“Selain berfungsi sebagai alat telekomunikasi, Tiang Lampu Multi Fungsi akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), lampu jalan, dan Papan LED (mengikut lokasi) yang mana sudah tentu akan memberi kemudahan, keselesaan dan keselamatan kepada penduduk sekitar.

“Struktur Tiang Lampu Multi Fungsi akan dipantau secara tahunan dan akan dikeluarkan permit tahunan oleh DBKK,” Noorliza berkata.