KOTA BELUD, SABAH – Berang dikenakan saman trafik, seorang penganggur berumur 22 tahun sini ditangkap selepas mengugut untuk membunuh anggota polis kelmarin (30 Apr)..
Kejadian pada jam 10.55 pagi di kawasan pekan Kota Belud tular dalam satu rakaman video berdurasi 51 saat.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain berkata suspek telah mengambil gambar anggota polis trafik yang sedang mengeluarkan saman atas kesalahan trafik.
“Perbuatan suspek telah ditegur oleh salah seorang anggota polis trafik dan lelaki tersebut mula berang lalu mengeluarkan kata-kata ancaman mahu membunuh anggota polis tersebut…
“Anggota polis yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan lelaki tersebut namun lelaki berkenaan telah bertindak membuka bonet belakang keretanya lalu mengambil sebatang paip besi dan cuba menyerang anggota polis yang sedang bertugas,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Shahrudin, semasa tangkapan dibuat, telah berlaku pergelutan kecil dimana suspek telah menendang bahagia peha salah seorang anggota trafik.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan dan tangkapan akan direman pada 1 Mei untuk siasatan lanjut,” tambah beliau.