Kerajaan Negeri Sedang Mengkaji Pembangunan Sukan ‘e-Sports’

Kerajaan Negeri Sedang Mengkaji Pembangunan Sukan ‘e-Sports’

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah dalam proses akhir menganalisa data untuk dijadikan intipati dan teras terma rujukan pembangunan sukan e-Sports dalam negeri ini.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata kajian itu berdasarkan penganjuran beberapa siri sukan e-Sports yang dilaksanakan sebelum ini.

Ianya termasuk Kejohanan E-Sports Tour 2019, e-Carnival 2021, Kejohanan PUBG Mobile Borneo Challenge 2021 dan Sabahan Scrim Santai Season 1.0 2021, yang keseluruhannya menarik lebih 17,000 penyertaan.

“Walaubagaimanapun beberapa masalah dihadapi oleh Kementerian semasa penganjuran iaitu talian internet yang lembap, kekurangan peralatan komputer dan ruang penganjuran (studio atau konti) yang tidak kondusif.

“Bagi mempopularkan sukan e-Sports di negeri ini, KBS juga menjalankan kajian terperinci meliputi kos peralatan serta kemudahan penyediaan talian internet untuk penyediaan prasarana.

“Ianya akan melibatkan jalinan Kerjasama bersama rakan strategik berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC),” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Juil Nuatim (Limbahau) yang bertanya jika kerajaan negeri menyediakan perancangan jangka panjang terhadap pembangunan sukan e-Sports dan industri berkaitannya pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ellron berkata pada temasya Sukan SEA ke – 30, Filipina pada tahun 2019, pencapaiana atlet sukan e-Sports dari negeri Sabah yang mewakili pasukan kebangsaan amat memberangsangkan.

“Ini terbukti dengan kejayaan dengan meraih pingat Gangsa pada acara sukan Mobile Legends berpasukan.

“Peserta negara dari negeri Sabah dalam acara tersebut termasuklah Abdul Wandi Abdul Kadir, Izme Haqeem Hamsjid dan Jamil Nurolla,” katanya.

Tambahnya, acara-acara sukan e-Sports yang sepatutnya dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Johor 2020 yang disertai oleh peserta dari negeri Sabah adalah sebanyak lima acara.

Acara sukan itu antaranya ialah Mobile Legend, Dota 2, PES 2021 (1vs1), PES 2021 (2vs2) dan acara PES 2021 (berpasukan).