Jongkong Emas Yang Ditemui Dalam Kereta Api Switzerland Diserahkan Pada Palang Merah

Jongkong Emas Yang Ditemui Dalam Kereta Api Switzerland Diserahkan Pada Palang Merah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

GENEVA – Sejumlah 120 jongkong emas yang ditemui dalam sebuah kereta api di Switzerland kini diberikan kepada persatuan Palang Merah, menurut pihak pendakwa pada Jumaat.

Ini selepas segala usaha telah dijalankan untuk menjejak pemiliknya, namun menemui jalan buntu.

Memetik laporan AFP, seorang atendan kereta api pada Oktober 2019 telah menemui bungkusan dalam sebuah kereta api yang sedang dalam perjalanan dari St Gallen ke Lucerne, menurut pejabat pendakwa raya daerah Lucerne menerusi satu kenyataan.

Bungkusan terbabit, antara lain, dilabel dengan kata-kata ‘ICRC valuables’, yang bermaksud ‘barang berharga ICRC’, merujuk kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang berpangkalan di Geneva.

“Bungkusan itu mengandungi 120 jongkong emas… yang dilabel dengan logo dan nombor siri,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, bungkusan itu seberat 3.7 kilogram.

Kenyataan itu tidak menyatakan nilai jongkong emas itu secara keseluruhan, namun jongkong emas 24 karat kini dijual pada harga sekitar AS$60,000 (RM278,400) bagi setiap kilogram.

“Meskipun siasatan sudah dijalankan secara meluas, pemilik jongkong emas itu masih tidak dapat ditemukan…

“Oleh itu, pemilik emas itu atau kaitan dengan kemungkinan jenayah harta masih tidak dapat ditentukan.

“Memandangkan jongkong emas itu ditemui dalam bungkusan yang ditujukan kepada ICRC, pemiliknya (yang tidak diketahui) boleh dianggap mahu memberikannya kepada pertubuhan itu. Maka, ia diserahkan kepada ICRC,” menurut kenyataan sama.

ICRC berkata mereka belum menerima emas itu.

Namun, mereka mahu menjual jongkong emas itu untuk membantu membiayai operasinya di seluruh dunia di kawasan yang terjejas akibat keganasan dan konflik.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kami atas sumbangan kepada ICRC ini, yang akan memainkan peranan penting dalam usaha meneruskan operasi kemanusiaan kami di seluruh dunia.

“Derma yang kami terima ini adalah sumbangan besar kepada usaha pembiayaan operasi ICRC di seluruh dunia, khususnya untuk melindungi dan membantu golongan yang paling mudah terjejas akibat perang dan keganasan,” kata ICRC dalam kenyataan.

Meskipun ICRC menghargai segala bantuan dan sokongan yang dihulurkan, pertubuhan itu berkata mereka berharap derma dan sumbangan dapat dihulurkan secara lebih kerap.

ICRC, yang mempunyai 20,000 kakitangan di lebih 100 negara, terpaksa berjimat tahun ini akibat kekurangan dana dan peningkatan ketara peperangan, keganasan atau konflik di serata dunia.

Pertubuhan yang diasaskan 160 tahun lalu itu sebelum ini memohon sumbangan 2.8 billion francs (RM14.62 bilion) untuk pembiayaan operasinya pada tahun ini.

Kata ICRC pada Mac, daripada 10 lokasi operasi terbesarnya, Afghanistan, Congo, Ethiopia, Iraq, Nigeria, Somalia, Sudan Selatan, Syria, Ukraine dan Yaman, hanya Ukraine mempunyai dana mencukupi tahun ini.