PETER ANTHONY DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 3 TAHUN DAN DENDA RM50,000

PETER ANTHONY DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 3 TAHUN DAN DENDA RM50,000

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis (26 Mei) menjatuhkan hukuman penjara TIGA (3) tahun dan denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Peter juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.

Pada 21 September 2021, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan.

Seramai 15 saksi pendakwaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula April 2021.

Peter, 50, sebelum ini didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.