PUTRAJAYA – Sesi kunjungan hormat oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin ke atas Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di pejabat MOTAC pada Khamis.
Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu pembaharuan lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu (BPKSP) yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan di Sabah.
Dato Sri Tiong King Sing menjelaskan, pihaknya memandang serius berhubung perkara yang melibatkan pengoperasian sektor pelancongan dan beliau komited untuk menyelesaikan isu terbabit secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memulihkan sepenuhnya industri pelancongan negara mampu dicapai dalam masa terdekat.
Sementara itu, Jafry yakin kerjasama strategik diantara KEPKAS dan MOTAC bakal memberi impak besar khususnya kepada pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan di negeri ini.
Selain itu, dalam memastikan penggiat industri pelancongan terus berdaya saing, kementerian pelancongan akan memohon bantuan atau insentif kerajaan menerusi MOTAC dalam membantu dari segi promosi dan pemasaran produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang ada di Sabah.
Dalam pada itu, Dato Sri Tiong turut berbesar hati untuk membantu menaik taraf kawasan atau premis pelancongan tempatan…
Jafry berkata, trend pelancongan masa kini sama ada tempatan atau asing dilihat lebih memilih produk serta destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
“Kita lihat trend pelancongan kita sudah berbeza, kini lebih ramai yang pergi ke tempat seperti ini dan mereka mahu melihat alam semulajadi yang cantik sekaligus merasai kehidupan serta budaya masyarakat di sesebuah tempat,” katanya.
Untuk itu, kementerian mengalu-alukan hasrat menteri MOTAC dalam membantu pengusaha pelancongan menaik taraf kualiti infrastruktur sedia ada bagi memberi keselesaan kepada pelancong.





