KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sabah merampas sebanyak 3,715 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di daerah Penampang awal pagi hari ini.
Serbuan ke atas premis yang disyaki melakukan penyelewengan diesel dilakukan pada pukul 1.40 pagi tadi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Zulfamy Mat Udi, serbuan itu adalah hasil risikan selama dua minggu.
“Semasa serbuan dijalankan, terdapat seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di pintu hadapan stor berkenaan…
“Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati kenderaan tersebut mengangkut lima tong jerikin yang mengandungi 165 liter minyak diesel.
“Manakala di dalam stor terbabit, terdapat sejumlah 3,715 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki-tangki plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP kemudian bertindak menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, tangki-tangki yang berada di dalam stor, pam elektrik, hos getah dan 3,715 liter minyak diesel dengan nilai rampasan RM60,487,” tambahnya.
Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
Zulfamy berkata siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.





