
KOTA KINABALU, SABAH – Pelbagai aspek perlu diteliti Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah untuk menentukan jika parti itu benar-benar telah bersedia menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-15.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata bersedia bukan sekadar ungkapan yang mudah dilaungkan tanpa perancangan yang rapi.
Menurut beliau, persediaan itu merangkumi pelbagai aspek ini termasuklah keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menundukkan lawan.
“Ini kerana matlamat utama kita adalah untuk mengambil alih semula pemerintahan negara,” katanya…
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin dalam ucapanya di Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra.
Pada konvensyen itu,Ismail menyatakan jika BN sudah bersiap sedia, beliau tidak akan melewatkan walau sesaat pun melangsungkan PRU-15 seperti dipersetujui semasa Perhimpunan Agung Umno yang lalu.
Sehubungan dengan itu, Bung juga berharap kesiapsiagaan jentera BN Sabah perlu dipertingkatkan dan menganggap PRU ke-15 sebagai agenda terpenting yang akan menentukan masa depan parti dan negara.
“Bagi menghadapi waktu yang semakin hampir menghadapi PRU ke-15 ini, segala gerak kerja dan persiapan perlu diperkemaskan sebaiknya. Selain kekerapan turun padang mendekati rakyat, daftar pengundi perlu dikemaskini ini termasuklah pengundi muda 18 tahun yang turut mempengaruhi bentuk sokongan kepasa BN.
“Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu diselaraskan agar mereka berpihak kepada BN,” katanya lagi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut mengingatkan jentera dan anggota parti BN di Sabah agar tidak terlalu selesa melihat dua kemenangan BN dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor kerana situasi dan sikap pengundi adalah berbeza.
“Jentera parti perlu menanamkan iltizam bahawa BN Sabah akan menjadi penyumbang terbesar dalam PRU ke-15 nanti.
“Jadi ketepikan dulu soal calon. Yang penting kita perlu bekerja keras mendekati rakyat diakar umbi agar perjuangan BN benar-benar dapat diterima oleh rakyat,” katanya.





