Empat Suspek Curi Kabel Lari Dari Polis Terlibat Kemalangan di Kg Berungis,...

Empat Suspek Curi Kabel Lari Dari Polis Terlibat Kemalangan di Kg Berungis, Tuaran

0
SHARE

TUARAN: Empat individu yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis dalam kejadian berhampiran Kampung Berungis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.44 pagi itu, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux Vigo dan Isuzu Invader.

Menurut maklumat awal pihak berkuasa, kenderaan Toyota Hilux Vigo berkenaan dipercayai membawa suspek yang sedang dikejar sebelum hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran berkata,  pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 tiba di lokasi pada jam 5.01 pagi, kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.

“Kesemua lima mangsa yang cedera, termasuk seorang lelaki berusia 61 tahun dari kenderaan Isuzu Invader, kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama dua jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 5.34 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan lokasi dan kenderaan berada dalam keadaan selamat.

Turut berada di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia yang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.