SUDAH menjadi fitrah manusia suka melihat seseorang dari segi luaran atau penampilannya.
Masakan tidak, cara itu lebih mudah untuk menilai seseorang kerana ia boleh dilihat menerusi mata kasar.
Hakikatnya, hanya mereka yang rapat dengan seseorang memahami bagaimana sifat dan hati budi individu tersebut.
Hal ini boleh diterjemahkan menerusi satu video tular yang dimuat naik oleh seorang pengguna bernama Izaidee Ikhwan di aplikasi TikTok.
Klip video itu memaparkan seorang lelaki berumur berpakaian lusuh sedang duduk di tepi jalan di bawah matahari yang terik…
Menerusi penjelasan video tersebut, beliau pada mulanya berasa kesian terhadap pak cik tersebut kerana penampilannya yang tidak terurus dan menyangka mungkin beliau mengalami kerosakan kereta atau mungkin juga sedang menunggu anaknya.
Tetapi sangkaan beliau itu meleret jauh kerana rupa-rupanya pak cik tersebut bukanlah individu yang ‘susah’.
Lanjutan video tersebut memaparkan pak cik tersebut memandu sebuah kereta berjenama Mercedes Benz.
“Terkejut gila tengok pakcik tu selamba pakai seluar senteng sebelah, selipar tandas yg biji-biji, beg silang zaman tuisyen.. Nahhh ameko ! Merc!,” kata kapsyen video tersebut.
Video yang dikongsikan sebenarnya perkara yang kerap dialami oleh sesetengah individu yang terlihat seseorang berketrampilan seperti tidak berkemampuan kerana berpakaian lusuh atau seluar senteng tetapi sebenarnya mereka orang kaya. Benarlah pepatah “Don’t judge a book by its cover”.