KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di daerah Keningau, pada Isnin (13 Jun).
Hasil serbuan pada jam 9.30 malam itu, sebanyak 8,300 liter diesel, sebuah lori tangki dan sebuah kenderaan “prime mover” berserta peralatan telah disita dengan nilai keseluruhan berjumlah RM98,345.
Pengarah KDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Serbuan ini adalah hasil risikan selama seminggu berhubung kegiatan itu di daerah Keningau…
“Modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan “prime mover” dan seterusnya memindahkan minyak ke dalam lori tangki yang terletak di stor terbabit,” katanya.
Berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut.
“Siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak terlibat sama ada bersubahat dengan kegiatan ini,” katanya…
Georgie berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan dan menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Para pengusaha stesen minyak juga diingatkan agar tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.
“Tindakan akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat…
“KPDNHEP Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” tegasnya.






