KOTA KINABALU, SABAH – Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Sabah sedang menyiasat satu kes penipuan projek naik taraf jalan raya melibatkan kerugian RM1.93 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata sejumlah lapan (8) repot diterima berhubung suspek lelaki yang dikenali dengan nama panggilan Datuk Yusri Yusuh.
“Beliau dipercayai telah memperdayakan mangsa dengan menawarkan projek naik taraf jalanraya yang tidak wujud di Sabah…
“Bagi mendapatkan projek ini pengadu, diminta membayar sejumlah wang deposit. Mempercayai kata-kata ini, mangsa telah membayar diantara RM30,000 sehingga RM650,000 dimana keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Beliau menyeru sesiapa yang mengenali atau mendapat tahu, tempat tinggal penama boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Tilmanshah Wasli di talian 016-5785962 atau 088-529761.
“Kes ini disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Kerjasama daripada orang awam amat dihargai,” tambahnya.





