KOTA BELUD, SABAH – Pengembaraan sekumpulan tujuh kanak-kanak termasuk tiga yang digelar orang kurang upaya (OKU) hanya mengundang kegusaran keluarga selepas dilaporkan hilang di Kampung Kebayau sini pada malam semalam (Ahad).
Walaubagaimanapun, kesemua mangsa berumur di kalangan tiga hingga 15 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung sekitar jam 7.30 pagi tadi, kira-kira 15 minit selepas bermulanya misi pencarian hari kedua.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud menerima laporan daripada Pengerusi Jabatan Kemajuang Kampung (JKK) Kampung Kebayau pada 8.50 malam.
Kanak-kanak terbabit dikatakan telah keluar bermain di kawasan kampung pada petang hari kejadian…
Menurut maklumat seorang saksi, kumpulan berkenaan kali terakhir dilihat berada di kedai runcit kampung sekitar jam 3 petang Ahad.
“Kesemua mangsa telah berjaya ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan Bomba di kawasan kebun dalam keadaan selamat.
“Pasukan Bomba membawa kesemua mangsa ke Kampung Kebayau untuk diserahkan kepada pihak Ambulans untuk menerima rawatan lanjut,” lapor Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.30 pagi tadi.





