Lelaki Tetak Pengawal Keselamatan Dihadapkan Semula Ke Mahkamah Atas Tuduhan Membunuh

Lelaki Tetak Pengawal Keselamatan Dihadapkan Semula Ke Mahkamah Atas Tuduhan Membunuh

0
SHARE

SUNGAI PETANI, KEDAH – Seorang lelaki yang menjadi suspek kes pengawal keselamatan yang dilibas pedang hingga maut sekali lagi dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

Tertuduh iaitu R. Subramaniam, 41, sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani di sini semalam (Ahad).

Hari ini, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan di bawah seksyen itu susulan tindakan polis mengklasifikasikan semula kes mencederakan mangsa, Ismail Ahmad, 58, yang berlaku di sebuah tapak projek perumahan sebagai kes bunuh.

Ia berikutan selepas mangsa Ismail Ahmad, 58, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang semalam (Ahad) akibat kecederaan ditetak dan dipukul pada Khamis baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam yang tiada pekerjaan tetap didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini pada 4.40 petang 4 April lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arthini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Semalam, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dan polis merujuk semula kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya yang mengarahkan kes dituduh semula mengikut Seksyen 302.