KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu, 86, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi di kediamannya di sini.
Beria dukacita itu disahkan bekas Menteri Kesihatan dan juga bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dalam satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.
“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari…
“Takziah kepada Toh Puan, Datuk Seri Vell Paari dan seluruh ahli keluarga atas kematiannya. Beliau menjalani sepenuhnya kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan serta penghargaan,” katanya.
Mendiang yang juga bekas Menteri Kerja Raya banyak memberi sumbang besar terhadap negara dan masyarakat India.
“Antara sumbangan besar mendiang adalah mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe…
“Justeru sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingat kami,” kata Subramaniam.
Samy VelluĀ menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.
Beliau mula menceburi bidang politik pada usia 23 tahun pada 1959 apabila dia menyertai MIC cawangan Batu Caves.
Samy VelluĀ juga adalah antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.
Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.
Mendiang pernah berkhidmat sebagai anggota pentadbiran persekutuan di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dari 1978 hingga 2008.





