TAWAU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kobuta, sini, pada hari ini.
Hasil serbuan pada jam 10 pagi itu, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 2,090 liter minyak diesel dalam square tank, sebuah lori, sebuah square tank, satu unit electronic pump, dan satu unit hos besar, yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM35,993.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sumber maklumat telah diperolehi daripada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, dan risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan…
“Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.
Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.






