Polis Temui Tiga Mayat Sekeluarga Dalam Rumah Berkunci, Kes Disiasat Bunuh

Polis Temui Tiga Mayat Sekeluarga Dalam Rumah Berkunci, Kes Disiasat Bunuh

0
SHARE

SUNGAI PETANI: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, di sini membawa kepada penemuan tragis tiga sekeluarga yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian pada lewat malam Rabu.

Kejadian terbongkar selepas penduduk setempat yang curiga dengan bau tidak menyenangkan dari rumah berkenaan bertindak memaklumkan kepada pihak polis.

Menurut sumber, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum menemui dua mayat dipercayai pasangan suami isteri di bahagian dapur dalam keadaan tidak sempurna dan dibungkus menggunakan karpet serta pakaian.

Siasatan awal mendapati keadaan mayat dipercayai telah melebihi dua hari.

Turut ditemui, mayat seorang lelaki dipercayai anak kepada pasangan berkenaan di tingkat atas rumah dengan kesan kelar pada bahagian leher.

Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemukan kesan darah di ruang tamu yang dipercayai telah dibersihkan, sekali gus menimbulkan kemungkinan terdapat usaha untuk menyembunyikan kejadian.

Beberapa senjata tajam turut dilaporkan ditemui di dalam rumah tersebut bagi membantu siasatan.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai unsur jenayah, termasuk melibatkan individu dalam kalangan mangsa sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala semua mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.