KOTA KINABALU, SABAH – Had masa operasi perniagaan restoran dan premis peruncitan di seluruh Sabah diseragamkan dari jam 9 pagi hingga 6 petang manakala pasar awam dari pukul 6 pagi hingga 3 petang mula esok (7 Jun).

Jurucakap COVID-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan ini berikutan bilangan kes positif baru hari ini yang mencecah 305 KES.
“Daripada 305 kes jangkitan baharu hari ini, 178 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 64 kes adalah daripada saringan kluster, 34 kes adalah daripada saringan bergejala, empat (4) kes daripada saringan bersasar dan 25 kes adalah daripada lain-lain kes,” kata Masidi.
Juga dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini adalah 7 kluster baru.

Masidi memperincikan Kluster Jalan Utama Sandakan, melibatkan penularan jangkitan di dalam ruangan sebuah tempat kerja syarikat insurans berpunca dari seorang wanita 51 tahun.
“Kluster Sawit di Kinabatangan, melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti dan tempat kerja iaitu di Ladang Sawit Syarimo berpunca dari seorang kerani wanita, 25.
“Kluster Murni C di Nabawan, merupakan kluster yang tercetus berikutan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kg Murni C. Kes membabitkan seorang lelaki warganegara, 33, yang disahkan positif di Klinik Kesihatan Penampang.
“Kluster Tamalang, Kota Belud melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti berpuinca dari seorang lelaki berumur 25 tahun.
“Kluster Kg Gusi, Papar tercetus dari aktiviti keagamaan di Surau Al-Kautsar membabitkan seorang lelaki berumur 60 tahun.
“Kluster Ketiau Tembovo, Putatan juga tercetus dari aktiviti keagamaan melibatkan seorang lelaki, 63, yang menjangkiti rakan serumah kes indeks yang bekerja di kilang ayam, QL Agroventure Sdn. Bhd,” jelas beliau.
Dalam pada itu Kerajaan Negeri juga menetapkan kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah sekurang- kurangnya 30% di pejabat masing-masing dan 70% bekerja dari rumah.
“Pelaksanaan ini berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan penjawat awam, di samping kewujudan pelbagai kluster di seluruh daerah,” tambah Masidi.