KOTA KINABALU, SABAH – Polis Negeri ini bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dan Pilihan Raya Umum sekiranya diadakan pada musim itu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Datuk Jauteh Dikun berkata 626 titik panas banjir di 29 daerah telah dikenal pasti dan kebanyakannya berada di kawasan pedalaman termasuk Kinabatangan, Pitas dan Beaufort.
“Seramai 1,076 pegawai dan anggota dari seluruh Sabah ditugaskan khas untuk operasi-operasi berkenaan bencana MTL.
“Lebih 3000 yang lain daripada 24 agensi kerajaan dan NGO turut bersiap sedia…
“Polis Diraja Malaysia Sabah mempunyai 1,401 aset dengan sokongan lebih 400 NGO nelayan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa orang ramai harus lebih berwaspada semasa cuaca buruk dan tidak lagi bergantung kepada “penunjuk banjir tradisional”.
“Ia adalah penunjuk banjir yang digunakan oleh penduduk kampung sejak beberapa generasi tetapi kini sudah lapuk…
“Mohon patuh dengan arahan pihak berkuasa jika mereka mengarahkan anda berpindah segera,” tambahnya.
Jauteh berkata, 345 pusat perlindungan sementara yang mampu menempatkan 131,330 individu yang terjejas di seluruh negeri juga telah bersedia.
“Sementara itu, kita akan pastikan pilihan raya, sekiranya diadakan pada masa yang sama akan berjalan dengan lancar dan tidak kekurangan tenaga kerja mahupun logistik.
“Ini juga telah dibincang dalam pertemuan dengan pelbagai agensi lain,” katanya.
Hujan dan angin lebat di seluruh negeri yang sering mengakibatkan banjir diramalkan berlaku di seluruh Sabah sehingga Mac tahun depan.





