KUALA LUMPUR – UMNO mengumumkan bakal bergerak secara solo menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 15 berikutan PAS memutuskan untuk memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan sekutu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata pihaknya sudah menjangkakan keputusan PAS Pusat untuk terus bersama dengan PN bagi menghadapi PRU-15.
“Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran…
“Dengan keputusan ini, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan dikeluarkan menyatakan pihaknya memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN mendepani PRU15 atas prinsip penyatuan ummah.






