KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, akses kepada penjagaan paliatif perlu diperluas kepada semua peringkat sistem penjagaan kesihatan.
Katanya ini bagi membolehkan setiap pesakit yang didiagnos dengan masalah kesihatan serius menikmati penjagaan itu.
“Oleh itu, golongan profesional penjagaan kesihatan harus mempunyai kefahaman asas mengenai bagaimana mengenal pasti pesakit yang memerlukan penjagaan paliatif.
“Setiap rakyat Malaysia berhak untuk menerima penjagaan paliatif yang berkualiti tinggi dan menepati standard etika penjagaan kesihatan negara…
“Ia memerlukan lebih banyak penyertaan dan sumbangan daripada apa yang ditawarkan oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan formal,” katanya.
Khairy berkata, tujuan penjagaan paliatif ialah untuk menyediakan kualiti hidup terbaik kepada pesakit dan keluarga mereka serta melibatkan semua jenis pesakit dan penyakit.
“Pesakit berhak mendapat kualiti penjagaan terbaik.
“Di sinilah anda boleh memainkan peranan dalam masyarakat,” katanya.
Menekankan pada penjagaan paliatif komuniti sebagai satu komponen penting perkhidmatan penjagaan paliatif secara menyeluruh, Khairy berkata, ia menawarkan kesinambungan penjagaan kepada pesakit selepas dibenarkan keluar daripada hospital.
“Khidmat komuniti membantu pesakit untuk berada di rumah lebih lama dan membantu mengurangkan kemasukan kecemasan ke hospital,” katanya.
Khairy berkata, khidmat komuniti turut membantu meningkatkan keyakinan anggota keluarga untuk menjaga pesakit di tempat yang selesa bagi mereka.





