KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tampil memberi penjelasan terperinci berhubung isu jumlah pengundi berdaftar yang meningkat mendadak, baru-baru ini.
Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dalam satu kenyataan media berkata jumlah pengundi berdaftar di Sabah mengalami peningkatan sebanyak 53.9 peratus iaitu seramai 1,638,806 berbanding 1,064,686 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Rakyat tertanya-tanya, dari mana datangnya seramai 574,120 orang pemilih baru?
“Oleh yang demikian, SPR mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan penjelasan kepada rakyat Sabah.
“Ini kerana ramai yang mempersoalkan pertambahan jumlah pengundi yang amat luar biasa ini sekiranya ia hanya melibatkan Undi 18,” katanya.
Dalam pada itu, Joseph turut berkata sekiranya SPR gagal berbuat demikian, ia akan menimbulkan banyak kegusaran dikalangan rakyat Sabah.
Disamping itu, Joseph turut menyifatkan ia juga akan membuatkan rakyat meragui kewibawaan SPR dalam mengendalikan proses pendaftaran pemilih dan menguruskan perjalanan pilihan raya di negara ini.
Sementara itu, beliau juga mengemukakan cadangan agar SPR segera mengadakan taklimat khas berhubung perkara tersebut kepada semua parti politik, badan bukan berkanun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sekiranya penjelasan pihak SPR tidak memuaskan, maka pihak kami akan merujuk perkara ini kepada peguam kami untuk diteliti agar tindakan undang-undang dapat diambil,” katanya.





