BEAUFORT, SABAH – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyarankan ibubapa supaya mempelawa anak mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, supaya bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih menjelang hari pengundian pada 19 November ini.
Katanya, usaha itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa gementar memandangkan ada sebahagian pengundi muda akan mengundi buat pertama kali dan kehadiran bersama keluarga dilihat dapat mendorong mereka untuk keluar mengundi.
“Para penyokong yang hadir pada perjumpaan ini, saya merayu supaya anda semua dapat meyakinkan anak-anak yang pertama kali mengundi untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Yang penting undilah saya yang mewakili GRS…
“Saya tahu masih banyak yang kita perlu tambah baik untuk bangunkan kawasan Sipitang. Pengundi nilailah sendiri kemampuan yang GRS boleh laksanakan untuk Sabah.
“Dan jika GRS ada kerusi di Parlimen, sudah tentu banyak aspek-aspek dan isu rakyat boleh diketengahkan untuk tindakan kerajaan Persekutuan dan ia secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada Sabah sendiri, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Suasa pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam ketika diawal ucapannya turut mengingatkan pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dalam Pilihan Raya Umum lepas (PRU14) kerana terpedaya dengan hasutan pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sebaiknya pengundi memilih Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) kerana sehingga ke hari ini para pemimpin GRS-BN telah berjuang dengan lantang demi membangunkan Sabah.
Justeru katanya, semua jentera dalam parti-parti komponen GRS-BN wajar menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding dalam PRU15 ini demi memastikan segala agenda rakyat dapat diperjuangkan.





