KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri dan akan dibayar pada bulan Januari 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Selain daripada itu, Bantuan Khas sebanyak RM500.00 untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada bulan April 2023.
“Dengan pemberian insentif ini saya berharap agar para penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih lagi bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan sangat prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan penjawat awam kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, untuk memantapkan lagi perkhidmatan awam, agensi-agensi Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan menerusi pendigitalan bagi mengurangkan proses birokrasi dan meningkatkan keupayaan institusi sektor awam.
“Usaha pembangunan kapasiti perlu terus dipertingkatkan untuk memastikan penjawat awam mampu menggerak dan memacu agenda pembangunan negeri.
“Bagi tujuan ini, sejumlah RM12.83 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan kepada semua Kementerian dan Jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.





