KOTA KINABALU, SABAH – Barisan Nasional (BN) Sabah berasa tersisih dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan berikutan tidak ada seorang daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.
Memetik sumber Berita Harian, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.
Menurutnya, jumlah terbabit tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang memperolehi lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.
“Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio, khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bung Moktar yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri ini daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.
“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.
Dalam pada itu, Bung turut berkata Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh.





