
LAHAD DATU, SABAH – Seramai 100 orang menerima sumbangan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penerima terdiri daripada 40 orang kurang upaya (OKU), 23 anggota keselamatan dan 37 golongan asnaf.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Santapan Tengahari Bersama Rakyat di Dewan Perdana, pada Isnin.
Dalam titah Baginda, Tuanku mengucapkan terima kasih atas sambutan yang begitu meriah daripada penduduk Lahad Datu.
Seri Paduka Baginda berkata baginda amat teruja melihat pelbagai pokok buah-buahan di sepanjang perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu dan berharap agar ianya dapat dikomersialkan ke pasaran luar.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Yusof Apdal yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan melawat ke Ibu Pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pengkalan Polis Marin (PPM). — JABATAN PENERANGAN SABAH