Perbalahan Tiada Kesudahan Punca Hanya Dua Menteri Dari Sabah – Masidi

Perbalahan Tiada Kesudahan Punca Hanya Dua Menteri Dari Sabah – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah dikenali dengan penduduk yang bertoleransi dan tidak prejudis namun pemimpin-pemimpinnya pula tidak ‘sekepala’.

Ini mengakibatkan kelemahan dari sudut tuntutan terhadap Semenanjung. Akhirnya, hanya dua anak Sabah diberikan jawatan dalam Kabinet Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim jika dibandingkan dengan lima wakil daripada Sarawak.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata semua boleh dibuat pemimpin Sabah kecuali duduk bersama.

“Ini yang kita tanam, inilah yang kita tuai. Pemimpin-pemimpin Sabah lebih bimbang dengan cuba menjadi paling hebat berbanding membincangkan kebaikan demi negeri,” katanya.

Berkenaan sokongan GRS kepada Kerajaan Perpaduan Anwar, beliau berkata tindakan menepikan berbezaan politik itu hanyalah sementara.

“Sekarang berlakunya krisis ekonomi dan jemaah menteri mencerminkan perpaduan negara dalam usaha memperbaiki hal itu…

“Ini bukan kerajaan biasa-biasa kerana ini bukanlah waktu biasa-biasa. Malaysia sedang menghadapi masalah ekonomi dan kita memerlukan sebuah kerajaan yang padu.

“Tiada kawan selamanya atau musuh selamanya dalam politik. Tapi bercakap mengenai politik, bukankah semua kita mahukan yang terbaik untuk Sabah?,” beliau berkata selepas merasmikan majlis SAYAP di sini semalam.

Beliau berkata jika itu kehendak politik umum makanya mentaliti partisan tidak seharusnya dijadikan keutamaan.

“Inilah realiti politik. Anwar mempelawa Perikatan Nasional untuk menyertai kerajaan perpaduannya itu namun ditolak untuk menjadi pembangkang,” katanya.

Pada malam Jumaat, Datuk Armizan Mohd Ali dari GRS dan Datuk Ewon Benedick dari Pakatan Harapan masing-masing dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Perasaan tidak puas hati berkenaan hal ini secara ironi menyatukan pendapat pemimpin-pemimpin termasuk Datuk Seri Bung Moktar daripada Barisan Nasional Sabah dan Datuk Azis Jamman daripada Parti Warisan.