Bantuan Jejak Lelaki Warga Brunei Yang Hilang Di Sabah

Bantuan Jejak Lelaki Warga Brunei Yang Hilang Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Polis sedang mencari lelaki warga Brunei berusia 29 tahun yang belum pulang selepas menyertai acara Hobbycon bersama tiga lagi rakannya di sini tahun lepas.

Lelaki yang dikenali sebagai Ak Muhammad Abdullah Pg Ali itu dikatakan kali terakhir dilihat di Tabletop Arena, sebuah kedai permainan kad di 1Borneo Hypermall pada 19 Dis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Kalsom Idris berkata lelaki yang berasal dari Kg Parit di Pengkalan Batu itu berketinggian 168cm dengan berat kira-kira 100kg.

“Dia berambut sepada kerinting pada paras bahu, memakai cermin mata dan agak berisi dengan kulit cerah…

“Keluarga lelaki itu menunggu kepulangannya melalui feri Menumbuk-Labuan-Brunei yang sepatutnya tiba pada 20 Dis.

“Bagaimanapun, selepas lima hari tanpa berita, mereka bertindak membuat laporan polis. Keluarga mangsa berkata Ak Muhammad tidak dapat dihubungi melalui telefon atau aplikasi WhatsApp,” kata Kalsom.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Norul Azlan Mohamad Nawi dari Balai Polis Kota Kinabalu di talian 010-9300777 atau mana-mana balai polis berhampiran.