KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot pam yang cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran, awal pagi hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pada sekitar jam 2:50 pagi tadi, bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya menahan dan memeriksa sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang sarat dengan muatan lebih kurang 1.1 batu nautika timur muara Sungai Tambalugu.
“Semasa diperiksa dan digeledah, terdapat dua orang lelaki warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah mengendalikan bot terbabit, masing-masing berusia 24 dan 50 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit membawa muatan barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran berhampiran.
“Antaranya, dua tong drUm berwarna biru berisi minyak petrol lebih kurang 400 liter, 44 tong kecil yang juga berisi 1320 liter petrol dan 30 liter diesel,” karanya dalam sebuah kenyataan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM24,000 termasuk bot.
Maurice berkata kedua-dua suspek bersama bot dan kesemua barang rampasan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.





