Anwar Dan PH Sabah Menyokong Kepimpinan Hajiji

Anwar Dan PH Sabah Menyokong Kepimpinan Hajiji

0
SHARE
Phoong
Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah baharu, Phoong Jin Zhe

KOTA KINABALU, SABAH – Dengan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, begitu juga pemimpin parti komponen gabungan itu di negeri ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah baharu, Phoong Jin Zhe berkata, apa-apa keputusan yang dibuat Hajiji harus dihormati.

Phoong antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah dalam majlis istiadat mengangkat sumpah di Seri Istana Kinabalu pagi tadi bersama ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib.

Beliau berkata pesanan Anwar Ibrahim sebelum ini ialah untuk memberi sokongan kepada Hajiji.

“Perdana Menteri berkata beliau memberikan sokongan selain meletakkan keyakinan kepada Datuk Seri Hajiji.

“Apabila kami bertemu dengan Anwar di kediaman rasmi Ketua Menteri untuk hanya 30 minit, beliau memberitahu tidak ada masalah bagi menyatakan sokongan kepimpinan kepada Hajiji untuk terus memimpin.

“Saya rasa inilah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, kita kena akui dan kita hormat. Dengan sokongan ini khususnya sokongan daripada tujuh ahli Pakatan Harapan (PH) Sabah, saya rasa Sabah akan terus ada kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita di luar pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu selepas majlis istiadat mengangkat sumpah berakhir.

Dalam pada itu, Phoong yang juga merupakan ADUN Luyang itu juga menyatakan harapan agar tidak berlakunya campur tangan dari kerajaan Persekutuan dalam keputusan berhubung rombakan kabinet yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Janganlah ada masuk campur kerana Sabah sedang memerhati. Rakyat Sabah mahukan episod pengakhiran.

“Keputusan yang dibuat mungkin kurang memuaskan bagi pihak tertentu tetapi saya rasa ini boleh dianggap sebagai perpaduan,” katanya.

Beliau juga menyatakan perasaan bangga untuk mewakili kaum CIna dalam kabinet Sabah.

Selain Phoong, Datuk Christina Liew juga telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah buat kali yang kedua.

“Pelantikan ini lebih inklusif dengan penyertaan daripada kaum Cina. Saya akan bekerja keras untuk semua rakyat Sabah,” katanya.