
TAWAU, SABAH – Cubaan LIMA (5) warga indonesia termasuk bayi berumur sembilan (9) bulan untuk menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau semalam dipatahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) kawalan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).
Cubaan tersebut digagalkan dalam rondaan Op BENTENG BERSAMA yang dilaksanakan menggunakan motosikal jenis Kawasaki scrambler ATM dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Utama Jalan Apas Batu 3 pada kira-kira jam 8.10 malam.
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pasukan berkenaan telah mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan, merapat ke perkampungan rumah atas air Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas.
“Hasil tinjauan dan pemerhatian yang dilaksanakan oleh Tim QRF turut mendapati terdapat sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Avanza warna hitam dalam keadaan mencurigakan berada berhampiran kawasan tersebut…
“Kenderaan tersebut didapati digunakan oleh agen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia. Tim QRF bertindak mengekori rapat dan telah menahan kenderaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun yang bertindak sebagai agen turut ditahan.
“Warga asing terdiri daripada seorang lelaki berusia 57 tahun, dua wanita berusia 17 dan 47 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia 9 bulan dan tiga (3) tahun ditemui bersama barang persendirian…
“Maklumat awal diperolehi dari tahanan memaklumkan bahawa mereka telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Kampung Hidayat.
“Mereka kemudiannya akan diambil oleh agen menggunakan kenderaan menuju ke Bandar Tawau,” jelasnya.
Beliau berkata agen warganegara Malaysia tersebut yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 telah memohon Tim Op Cegah PATI Daratan Tawau membantu bagi melancarkan proses tangkapan tersebut…
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau menggunakan kenderaan mengangkut pesalah PDRM. Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya,” katanya.