KAJANG – Wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, di sini, telah disyaki disamun penjenayah, Isnin lepas.
Memetik sumber Sinar Harian, wang dipercayai dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah terbabit di pekan Semenyih sekitar jam 10 pagi itu.
Wang bantuan awal persekolahan itu sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa ini.
Sejurus mengeluarkan wang berkenaan, suspek menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank.
Difahamkan, wang berkenaan diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan dan kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.
Namun sebaik tiba semula di kenderaannya, didapati cermin penumpang telah pecah dan wang telah hilang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.





