Kerusi Empat Ahli Parlimen Sabah Keluar BERSATU Kekal

Kerusi Empat Ahli Parlimen Sabah Keluar BERSATU Kekal

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Empat orang Ahli Parlimen Sabah yang sebelum ini telah keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengekalkan kerusi yang disandang mereka.

Memetik sumber Berita Harian, perkara terbabit diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dimana kekosongan tidak berlaku ke atas keempat-empat kerusi yang dimenangi atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Perkara terbabit disahkan salah seorang daripada Ahli Parlimen terbabit, Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Katanya, pihaknya mengesahkan telah menerima salinan surat daripada Johari yang ditujukan kepada Naib Presiden BERSATU merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berhubung keputusan dalam isu kedudukan empat wakil rakyat berkenaan.

Beliau berkata, surat terbabit menjelaskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi mengikut Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan Kerusi Parlimen terbabit bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, semalam.

Selain Matbali, antara tiga Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).