Banjir: Enam Keluarga Kampung Garinono Sandakan Dipindahkan

Banjir: Enam Keluarga Kampung Garinono Sandakan Dipindahkan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Seramai 36 orang terdiri daripada enam keluarga di Kampung Garinono, Jalan Labuk, sini, dipindahkan susulan banjir yang melanda subuh tadi.

Antara mangsa yang terlibat termasuk dua bayi, tiga orang kanak-kanak dan seorang warga emas.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPB Severinus Sainkui, 12 pelajar tahfiz berumur 13 sehingga 16 tahun, sepasang bayi kembar bersama ibu bapa mereka yang bertugas sebagai tenaga pengajar, berjaya dipindahkan setakat pukul 11 pagi.

Seramai lapan orang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan terlibat dalam operasi pemindahan menggunakan bot dan lori.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.06 pagi.

“Mangsa pada awalnya dipindahkan ke dewan masjid, dan seterusnya dipindahkan ke Pusat Penempatan sementara (PPS) SK Kampung Pertanian pada jam tiga petang.

“Enam rumah dan sebuah sekolah terjejas ekoran banjir.

“Pemantauan ke rumah-rumah di Kampung Pertanian menggunakan bot sedang dilaksanakan oleh sepasukan tujuh anggota,” kata seorang jurucakap agensi dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.