KONGRES Cadang Beri Lanjutan Cuti Persekolahan Bersasar Ekoran Cuaca Panas Melampau

KONGRES Cadang Beri Lanjutan Cuti Persekolahan Bersasar Ekoran Cuaca Panas Melampau

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mencadangkan kerajaan memberikan lanjutan cuti persekolahan bersasar hanya kepada negeri yang terkesan dengan cuaca panas melampau.

Presidennya, Jasni Md Kechik dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian berkata, pihaknya menyambut baik jika kerajaan melaksanakan pelanjutan cuti sekolah bagi mengelak lebih ramai kanak-kanak mengalami strok haba.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi mengelak bilangan hari bersekolah tidak mencukupi bagi tempoh 190 hari, pihak sekolah boleh melaksanakan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti dilakukan sebelum ini.

“Guru dan pelajar sudah berpengalaman melaksanakan PdPR dan mereka boleh melaksanakan sesi itu dengan baik jika perlu melakukannya ketika cuaca panas melampau sekarang,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri akan berbincang keperluan untuk melanjutkan cuti persekolahan.

Katanya, selain cadangan itu, kerajaan juga sudah mengkoordinasikan kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membantu rakyat menghadapi fenomena ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, laporan berhubung mesyuarat berkaitan serangan strok haba sudah diserahkan kepadanya dan usaha penyelarasan antara kementerian serta jabatan terbabit dalam soal ini juga sedang dijalankan.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan dua kematian yang disahkan akibat strok haba membabitkan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan.

Selasa lalu, mangsa pertama Muhamad Syamil Aqil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok pada jam 9.27 pagi dipercayai akibat strok haba dan dehidrasi, diikuti laporan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Imani dari Kampung Kota di Kota Bahru dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.20 pagi pada hari sama.

Sementara itu, Jasni berkata, sekiranya tiada lanjutan cuti persekolahan, pihak sekolah boleh melonggarkan sedikit syarat pemakaian baju sekolah untuk keselesaan pelajar.

“Elakkan pemakaian tali leher atau ‘jaket’ dalam kalangan pelajar untuk keselesaan mereka. Selain itu, guru juga perlu mengingatkan pelajar sentiasa minum air dan mengamalkan amalan kesihatan yang perlu bagi mengelak serangan strok haba…

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka dengan memantau tahap kesihatan anak dan bertindak segera sekiranya terdapat simptom strok haba pada anak masing-masing,” katanya.