SWEDEN – Ahli politik Sweden dan Denmark yang melampau, Rasmus Paludan, berkata dia akan membakar al-Quran setiap Jumaat sehingga negara Sweden dimasukkan ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Beliau sekali lagi dilaporkan telah mula membakar naskhah Al-Quran berhampiran masjid dan di luar premis Kedutaan Turki di Copenhagen Jumaat.
Rasmus, yang terkenal dengan ekstremisme anti-Islamnya, melakukan aksi serupa pada 21 Januari lalu.
Beliau yang merupakan seorang peguam, gagal memperoleh satu kerusi dalam pilihan raya kebangsaan, wilayah atau perbandaran melalui parti sayap kanannya yang ditubuhkan di Denmark dan Sweden.
Partinya hanya menerima 156 undi pada pilihan raya parlimen 2022 di Sweden.
Menteri Luar Negeri Denmark, Lokke Rasmussen menegaskan untuk tidak akan membiarkan insiden itu memburukkan “hubungan baiknya” dengan Turki.
“Tugas kami sekarang adalah untuk bercakap dengan Turki tentang bagaimana keadaan di Denmark dengan demokrasi terbuka kita, dan terdapat perbezaan antara Denmark sebagai sebuah negara dan rakyat kami seperti itu, dan kemudian tentang individu-individu yang mempunyai pandangan yang sangat berbeza,” katanya menurut laporan portal berita Turki, TRTWorld.
Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson bersama umat dunia mengutuk tindakan Paludan yang beliau berkata sebagai “sangat kurang ajar” manakala Amerika Syarikat menmanggil perbuatan itu “menjijikkan”.
Jabatan Negara Amerika Syarikat menegaskan bahawa pembakaran itu adalah kerja “seorang provokator” yang mungkin dengan sengaja berusaha untuk menjarakkan hubungan antara dua rakan kongsi rapat mereka iaitu Turki dan Sweden.
Pembakaran kitab suci al-Quran mendorong kepada protes habis-habisan dari negara-negara Islam sedunia.





