SOOK: Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus bukan hanya merancang malah telah melaksanakan banyak inisiatif pembangunan dalam aspek ekonomi juga untuk kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru katanya, dakwaan oleh pembangkang kononnya kerajaan GRS-PH Plus tidak membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul. Itu adalah dakyah mereka yang sentiasa mahu menafikan setiap kejayaan yang dibawa oleh kerajaan.
“Namun kita tidak berdiam diri, sebaliknya terus bekerja untuk pembangunan negeri dan rakyat. Pelbagai inisiatif bantuan diberi kepada rakyat khususnya kepada anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Antara bantuan itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) selain bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar yang belajar di Semenanjung dan Sarawak serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300.
“Ini adalah sebahagian daripada kira-kira 13 inisiatif dalam Bantuan Pendidikan Kerajaan Negeri kepada para pelajar yang layak di negeri ini”, katanya pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Perkarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, Keningau pada Isnin.
Hajiji berkata, inisiatif lain yang turut diberi kepada rakyat kurang berkemampuan pada tahun ini termasuklah pembinaan sebanyak 3000 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos sebanyak RM250 juta.
Katanya, bantuan terbaharu yang diberikan kerajaan negeri mulai tahun ini ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar layak menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun.