KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan hadir sebagai tetamu istimewa ke sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Sabah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 10 Februari ini.
Pengerusi Penganjur, Datuk Christina Liew berkata, penganjuran majlis itu akan mempamerkan kepelbagaian budaya, memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat seluruh Sabah.
Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pihaknya menjangkakan seramai lebih 10,000 pengunjung akan hadir ke majlis itu.
“Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti pertunjukan tarian singa, pertunjukan mercun serta persembahan nyanyian dan tarian dari artis tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Tambah Christina, tetamu kehormat dalam Majlis itu adalah, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin bersama isteri.
“Begitu juga dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri dan Perdana Menteri bersama isteri.
“Kementerian kita melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan SPS menganjurkan majlis ini bersama-sama dengan bantuan dari Persatuan Cina Sabah yang diketuai oleh Tan Sri TC Goh yang telah banyak memberi nasihat dan bantuan dalam tugasan ini,” katanya.