KOTA KINABALU, SABAH – Hujan lebat tanpa henti bermula kira-kira pukul 2 sehingga 5 petang tadi mengakibatkan banjir di beberapa kawasan bandar sini sekali gus menambah kepada kesesakan lalu lintas waktu puncak seharian.
Jalan-jalan utama di Penampang termasuk kawasan Lido, Bundusan, Donggongon sehingga Minintod yang kerap terjejas.
Laluan tiga lorong di jalan Kolombong menuju ke Inanam berkurangan menjadi dua disebabkan air banjir dan begitu juga bagi Jalan Sepanggar dan Menggatal menuju ke Tuaran.
Kota Kinabalu tidak terkecuali terutamanya jalan pesisir iaitu Jalan Teluk Likas dan Jalan Likas lama dan Jalan Pesisir berhampiran pusat beli belah Imago.
Namun begitu, penduduk kawasan pedalaman Sabah termasuk Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan serta beberapa daerah di Pantai Timur ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) sejak minggu lalu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam laporan 4 petang tadi berkata seramai 628 mangsa terdiri daripada 187 keluarga di Paitan, Lahad Datu, Telupid dan Beluran sedang menetap di 14 buah PPS yang didirikan ada yang sejak Rabu lalu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan Pedalaman dan Pantai Barat Sabah, Telupid dan Sandakan termasuk Wilayah Persekutuan Labuan sehingga pukul 7 malam ini (Rabu).





