SEMPORNA, SABAH – Tiada petanda positif berikutan empat hari usaha pencarian dijalankan pihak bomba bagi seorang warga asing yang dibaham buaya di Blok 44 Sungai Pegagau, sini, Ahad lepas.
Kejadian kira-kira 4 petang itu sempat dirakam rakan mangsa warganegara Filipina terbabit yang juga seorang pekerja di estet berkenaan.
Rakaman 14 saat yang telah viral di media sosial menunjukkan Marvin Susa Dequillia, 36, ditarik ke dasar sungai oleh seekor buaya ketika mereka bertujuh sedang memancing.
Pada hari pertama pencarian Pusat Gerakan Operasi Bomba melaporkan kesukaran mengakses lokasi kejadian disebabkan air sungai surut yang menghalang pergerakan bot penyelamat.
“Operasi pencarian dijalankan menggunakan bot dengan radius dua kilometer menyusuri sungai Pegagau namun mangsa masih belum dijumpai.
“Operasi ditangguh pada jam 17:30:00 dan akan disambung esok pagi (Khamis),” katanya semalam.
Turut terlibat dalam pencarian ialah Polis Diraja Malaysia termasuk Polis Marin, Jabatan Hidupan Liar dan penduduk tempatan.





