95 PERATUS INISIATIF SMJ KUMPULAN YAYASAN SABAH TELAH DILAKSANAKAN: KM HAJIJI

95 PERATUS INISIATIF SMJ KUMPULAN YAYASAN SABAH TELAH DILAKSANAKAN: KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 95 peratus daripada 17 inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya Kumpulan Yayasan Sabah telah berjaya dilaksanakan setakat ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata sebanyak 17 inisiatif itu telah dilaksanakan pada tahun 2022 yang membabitkan dua teras di dalam SMJ iaitu modal insan dan kelestarian hijau.

“Prestasi ini amat membanggakan dan tahniah kepada semua warga Kumpulan Yayasan Sabah yang terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini. Sebagai jentera strategik kerajaan negeri, Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus memacu pelbagai program sejajar dengan Hala Tuju SMJ.

“Pembangunan modal insan perlu terus dipertingkatkan khususnya dalam aspek pendidikan. Saya mahu Kumpulan Yayasan Sabah terus memberi fokus kepada pendidikan dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke pengajian tinggi.

“Saya berharap pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pada bulan Jun tahun lalu, ia dapat meringankan bebanan kewangan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membiayai komitmen itu.

“Pada tahun 2022 sebanyak RM28.5 juta telah dibelanjakan untuk memberi tajaan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman kepada 2,823 orang pelajar baharu dan yang sedang belajar. Saya yakin dengan dana terkumpul TPNS akan dapat meringankan bebanan kewangan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata
Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS)
mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan lebih kurang 98 peratus manakala University
College Sabah Foundation (UCSF) sebanyak 75 peratus pada tahun 2022.

“Banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan bagi membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Inisiatif ini membuka sinar baharu kepada penduduk khususnya golongan B40 untuk memastikan anak mereka dapat pendidikan hingga ke peringkat universiti.

“Pemberian biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajar begeri akan dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk memberi peluang kepada anak Sabah melanjutkan pengajian dan latihan ke peringkat lebih tinggi. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM57 juta diperuntukkan pada tahun ini.

“Dalam pada itu, usaha Yayasan Sabah yang komited melindungi khazanah yang terkandung di kawasan konservasi di bawah seliaan kumpulan berkenaan, perlu terus dipertingkatkan.

“Usaha ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa memastikan
pelaksanaan pembangunan sosial dan ekonomi menjamin kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ketua Menteri turut meminta pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus berusaha agar aktiviti perniagaan anak-anak syarikat akan terus menghasilkan keuntungan sekali gus dapat menggandakan pembayaran dividen kepada ICSB (Innoprise Corporation Sdn Bhd).

“Hampir semua sektor yang diceburi telah mencatatkan pulangan yang lebih baik pada tahun 2022. Keuntungan sebelum cukai dijangka melebihi RM412 juta.

“Pemulihan keuntungan oleh anak-anak syarikat di sektor pelancongan dan kayu balak turut memberi kesan kepada prestasi baik ini.

“Saya dimaklumkan berdasarkan pemantauan berterusan terhadap anak-anak syarikat pada tahun 2022 telah menghasilkan rekod pembayaran dividen kepada ICSB berjumlah RM253.18 juta,” katanya.