PUTATAN, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) berjaya menyantuni seramai hampir 3,631 wanita di negeri ini melalui Program Outreach Santuni Wanita.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, program berkenaan ini merupakan kesinambungan inisiatif baharu sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sepanjang program ini dilaksanakan bermula tahun 2021 sehingga 2023, JHEWA telah menyantuni seramai hampir 3,631 orang melibatkan 39 kes dari seluruh pelusuk negeri Sabah.
“Jumlah tersebut menunjukkan program ini sangat signifikan kepada masyarakat kerana melibatkan aspek keusahawanan, sosial, pengupayaan ekonomi serta perundangan.
“Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha membantu rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada jabatan kerajaan seperti JHEWA serta agensi-agensi yang terlibat di kawasan yang dianjurkan.
“Sejak November 2021, program ini menjadi wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam usaha untuk memperkasakan golongan wanita serta masyarakat agar terus relevan dan menepati keperluan semasa,” katanya semasa menyempurnakan Penutupan Program Outreach Santuni Wanita di Dewan Sri Putatan, pada Khamis.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan program tersebut merupakan antara usaha kerajaan dalam membendung masalah seperti perceraian, perebutan hak penjagaan anak dan keganasan rumah tangga dari terus menyelubungi masyarakat.
“Program ini turut memberi pencerahan ilmiah atau bantuan khidmat nasihat perundangan menerusi klinik guaman serta slot literasi perundangan yang telah dijalankan sebentar tadi.
“Oleh itu, saya nasihatkan semua untuk mengambil peluang yang ada dalam memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta dengan sebaiknya,” tambahnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada JHEWA kerana memilih Putatan sebagai lokasi pertama untuk mengadakan program berkenaan pada tahun ini dan berharap ianya akan diteruskan ke kawasan-kawasan yang lain.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, Pengerusi Qhazanah Technology Sdn Bhd, Datuk Awang Ahmad Sah dan Pengarah JHEWA, Haslina Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH