TYT Sabah Terima Kunjungan Hormat Dari Arthur

TYT Sabah Terima Kunjungan Hormat Dari Arthur

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini mengetuai delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) di sesi kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah membentangkan peranan dan pencapaian kementerian serta agensi yang telah dilaksanakan di negeri Sabah di sesi pertemuan yang berlangsung selama satu jam.

Di sesi terbabit, Juhar turut diberikan penerangan yang menyeluruh berkenaan jalinan kerjasama di antara MOSTI dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah (KSTI) serta bantuan dan perkhidmatan yang telah diberikan kepada kerajaan negeri Sabah.

Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan merupakan initipati yang penting bagi memastikan dasar Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di peringkat persekutuan dapat diterjemahkan dengan baik ke peringkat negeri khususnya di akar umbi.

Pada tahun ini MOSTI merancang beberapa program khususnya untuk negeri Sabah antaranya meneruskan program-program yang berimpak tinggi yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

Antara program yang akan diteruskan termasuklah program Reskilling dan Upscalling for Deep Tech and Future Skills yang telah mendapat sambutan yang luar biasa disamping mencatatkan kadar pengambilan kerja sebanyak 100 peratus di negeri Sabah.

Selain itu, bagi menarik minat belia Sabah terhadap bidang STI, MOSTI juga berhasrat untuk menganjurkan Kembara Sains Borneo yang akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kembara Sains Borneo ini akan turut menjelajah ke kawasan pedalaman bagi memastikan tiada yang terpinggir dalam mencetuskan minat terhadap STI.

Arthur turut menyatakan hasrat kementerian untuk meningkat lagi usaha-usaha untuk membantu Inovasi Sosial khususnya bagi menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi.

“Kita akan melihat kepada inovasi-inovasi di peringkat akar umbi dan mencari kaedah menyempurnakan lagi teknologi tersebut sebagai salah satu solusi kepada permasalahan di akar umbi.” katanya.

Hadir sama di sesi kunjungan hormat Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); Ruziah Shafei; Setiausaha Bahagian Pembudayaan Sains, Teknologi & Inovasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Sharmila Mohamed Salleh dan Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun.