40 Unit Peranti Pengumpul Ikan Bakal Diagih Kepada Nelayan Sabah

40 Unit Peranti Pengumpul Ikan Bakal Diagih Kepada Nelayan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 40 buah unit peranti pengumpul ikan atau Fish Aggregating Device (FAD) akan diagihkan kepada komuniti nelayan dalam tempoh dua tahun yang turut memanfaatkan lebih 200 orang nelayan bermula Mac ini.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan projek FAD itu merupakan projek hasil jalinan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Jabatan Perikanan Sabah.

Mengulas lanjut, ia juga merupakan langkah untuk menyediakan mata pencarian mampan kepada komuniti nelayan di Sabah menerusi program impak sosial.

“Ini merupakan bantuan yang boleh meningkatkan hasil perikanan kita khususnya untuk kegunaan nelayan kita di Sabah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana bersetuju memberikan alat peranti ini. Kita berharap selepas ini lebih banyak lagi kolobrasi akan dibuat diantara PETRONAS dan kerajaan negeri.

“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan untuk melihat keadaan hidup masyarakat nelayan, saya mahukan para nelayan menikmati taraf hidup yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Saya bersyukur kerana keadaan hidup nelayan kita hari ini lebih baik daripada beberapa waktu yang lalu. Ini adalah hasil daripada kesungguhan kerajaan yang merangka pelbagai dasar dan program untuk membela masyarakat nelayan di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Peranti Pengumpul Ikan di antara PETRONAS dan Jabatan Perikanan Sabah di The Magellan Sutera, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jeffrey turut berkata alat FAD itu berfungsi bagi membantu nelayan dalam sektor perikanan laut dalam terutamanya untuk menangkap ikan tuna sirip kuning.