Tiga Kanak-Kanak Di Sabah Maut Akibat Komplikasi Demam Denggi

Tiga Kanak-Kanak Di Sabah Maut Akibat Komplikasi Demam Denggi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai tiga orang kanak-kanak maut akibat komplikasi demam denggi dalam tempoh Januari hingga 11 Februari leas berbanding sifar kematian bagi tempoh sama tahun lalu telah direkodkan di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kes kematian yang dicatatkan masing-masing membabitkan tiga daerah iaitu Sandakan, Kudat dan Kunak.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketiga-tiga kes kematian terbabit dikenal pasti membabitkan kanak-kanak yang tinggal di lokaliti kampung setinggan atas air.

“Kes kematian di Sandakan membabitkan kanak-kanak perempuan warga negara berusia sembilan tahun dari Kampung Tinusa Laut Dua.

“Di Kudat pula membabitkan kanak-kanak perempuan bukan warga negara juga berusia sembilan tahun dari Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi.

“Sementara itu di Kunak pula, kematian membabitkan remaja perempuan bukan warga negara berusia 12 tahun dari Kampung Jaya Baru Bakau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Disamping itu, Dr Rose Nani turut berkata aktiviti kawalan dan pencegahan denggi telah dilaksanakan di kesemua lokaliti terbabit.

“Sehingga ke hari ini, Kampung Tinusa Laut Dua, Sandakan masih berstatus wabak tidak terkawal dengan sebanyak sembilan kes demam denggi dikesan.

“Namun begitu, tiada kes baharu yang dilaporkan dari lokaliti Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi dan Kampung Jaya Baru Bakau, Kunak,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan bermula pada minggu pertama dan kedua Januari tahun ini, pihaknya telah merekodkan sebanyak lebih 250 kes demam denggi seminggu.