
KENINGAU, SABAH – Seramai 200 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang berjaya menamatkan kursus jurusolek dan dandanan rambut pengantin yang diadakan di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Kursus yang dikawal selia oleh Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua STARSabah (JPMTS) Bahagian Keningau dan BDF Event Organiser serta dianjurkan oleh EMMIR Academy & Consultancy itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai di daerah ini.
Pengerusi JPTMS, Datuk Kapitan Stephen Teo berkata, walaupun penyertaan hampir 400 orang dalam tempoh tujuh hari pendaftaran secara dalam talian dibuka tetapi hanya 200 peserta yang terpilih.
“Ini kerana masalah ruang atau kapasiti bilik latihan yang terhad kepada 200 orang saja.
“Jadi penduduk di Keningau ini amat bertuah kerana program ini dapat dianjurkan di kawasan pedalaman dan ia telahpun menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian STAR Kapayan, Jafery Jomion pada majlis perasmian program itu, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan JPMTS, Lion Shun dan Pegawai Pejabat Parlimen Keningau, Clement Liew.
Dalam ucapan Jafery turut menasihatkan supaya peserta yang diberi peluang mengikuti kursus itu supaya memanfaatkan apa yang telah dipelajari.
“Ini kerana peserta tidak perlu mengeluarkan wang ratusan hingga ribuan ringgit untuk mengikuti kursus berkenaan yang diadakan serentak kerana ia 100 peratus percuma malah turut diberikan elaun, sijil penyertaan serta hadiah wang tunai menerusi pertandingan solekan yang diadakan.
“Jadi diharap peserta dapat belajar bersunguh-sungguh dan buktikan kejayaan yang diperoleh hasil daripada sepanjang lima hari kursus itu diadakan,” katanya.





