SIBU, SARAWAK – Akibat terpaut dengan tawaran pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan melebihi RM200,000 di aplikasi telegram, seorang wanita tertipu, dan mengalami kerugian berjumlah RM37,217.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili yang dipetik Bernama berkata, wanita berumur 30an itu kehilangan wang simpanannya yang dipindahkan ke lima akaun bank sehingga Rabu baru-baru ini, dengan harapan mendapatkan keuntungan tinggi.
“Wanita itu membuat tujuh transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berasingan antara 8 dan 20 Mac bagi tujuan mendapatkan mata serta keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
“Wanita itu merasakan dirinya ditipu hanya selepas diminta untuk membuat pindahan wang sebanyak RM41,447 bagi mendapatkan semula wangnya dengan bonus berjumlah RM273,439,” tambahnya lagi.
Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan pelaburan yang dibuat dan tidak mudah terpedaya dengan pulangan lebih tinggi yang dijanjikan berbanding dengan yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen.





